Sunday, October 16, 2011

KESAN PENAGIHAN DAUN KETUM

KESAN PENAGIHAN DAUN KETUM
Pakar ketagihan dan saintis penyelidikan bersekutu, Yale University School of Medicine, Amerika Syarikat, Dr. Mahmud Mazlan berkata, kandungan alkaloid di dalam daun ketum yang memberi kesan rangsangan akan hilang sekiranya rebusan itu tidak lagi segar. Daun ketum yang kering pula akan dikunyah seperti daun sirih tetapi kesannya tidak sebaik daun ketum segar.

Pengambilan air rebusan daun ketum boleh memberikan dua kesan yang berbeza. Ia akan memberi kesan yang sama dirasai ketika mengambil morfin atau kokain. Ramai yang ambil untuk mendapatkan kesan kokain terutama orang kampung yang melakukan kerja-kerja berat. Disebabkan boleh menghasilkan dua tindak balas berbeza, daun ketum dianggap sejenis tumbuhan yang unik kerana ia jarang dijumpai pada bahan lain.
Kesan seperti mengambil morfin akan menyebabkan seseorang berasa mengantuk sama seperti selepas meminum arak atau ubat tidur. Manakala kesan seperti mengambil kokain pula akan menghasilkan tindak balas yang merangsangkan.

Namun begitu, tindak balas yang terhasil daripada rebusan daun ketum adalah 10 kali lebih kurang daripada morfin sebenar. Ia hanya menyamai kesan yang dirasai selepas mengambil ubat batuk. Apa yang memelikkan, tindak balas minuman tersebut terhadap otak adalah berbeza dengan tindak balas morfin terhadap otak.

Walau bagaimanapun, daun ketum dikatakan memberi kesan yang hampir sama dengan daun coca yang digunakan untuk membuat kokain. Daun coca asli biasanya digunakan oleh buruh kasar di Amerika Selatan terutama yang menetap di Pergunungan Andes.

Selain kurang memberi kesan penagihan, daun coca juga boleh mengekalkan tenaga dan menyesuaikan sistem tubuh manusia dengan kawasan beraltitud tinggi. Sebab itulah ramai orang asli di Pergunungan Andes gemar mengunyah daun coca untuk mengekalkan tenaga sepanjang hari.

Sementara itu, daun ketum yang dianggap bahan paling kompleks ini jarang dilakukan penyelidikan. Setakat ini hanya terdapat sepuluh penyelidikan bertaraf antarabangsa dibuat ke atas daun atau pokok ketum termasuk di Jepun dan Eropah.

Para penagih dadah menggunakan daun ketum untuk cuba mengubat diri sendiri. Sebab itu, dalam hal ini daun ketum tidak boleh dipersalahkan. Semenjak tiga tahun lalu, bekalan heroin didapati semakin berkurangan dan harganya pula semakin mahal. Ini menyebabkan ramai penagih di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, utara Perak, Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan sekitar Pahang bertukar kepada daun ketum.

Memandangkan daun ketum juga dapat memberikan kesan sama seperti morfin, penagih heroin mula bergantung kepada daun ketum pula. Kebanyakan golongan penagih yang ingin berhenti daripada mengambil heroin cuba merawat diri mereka dengan mengambil daun ketum.

Tetapi kesan seperti mengambil heroin daripada daun ketum hanya boleh bertahan di dalam badan mereka sehingga tiga atau empat jam. Ini menyebabkan para penagih heroin terpaksa mengambil rebusan daun ketum secara kerap sehingga mereka tidak boleh tidur lebih daripada empat jam.

Kesan gian tersebut sebenarnya bukanlah tindak balas daripada daun ketum tetapi disebabkan kesan pengambilan heroin sebelum itu. Keadaan ini menyebabkan penagih heroin mula bertukar kepada ketagihan daun ketum. Malangnya, kuasa daun ketum tidaklah sehebat heroin sebenar. Golongan penagih biasanya menggunakan daun ketum dalam bilangan yang banyak iaitu 8 hingga 10 botol sehari bagi mengurangkan rasa gian kepada heroin.

Bagi golongan bukan penagih pula, mereka memerlukan sebanyak satu tin minuman ringan rebusan daun ketum untuk mengekalkan tenaga ketika bekerja sepanjang hari. Golongan bukan penagih tidak akan merasai kesan gian malah boleh berhenti meminum air ketum pada bila-bila masa.

Pengambilan rebusan daun ketum yang berterusan boleh mendatangkan beberapa kesan buruk. Antaranya ialah kulit menjadi gelap, tubuh menjadi kurus kering, kurang tidur, mata merah dan menjadi panas baran. Dari segi kelakuan dan sifat, keadaan tersebut dilihat sama seperti yang dialami oleh penagih heroin.

Pengambilan rebusan daun ketum secara kerap selama tiga bulan juga boleh mendatangkan masalah buah pinggang dan hati. Penagih juga sering berasa loya dan menghidapi gastrik yang serius. Keadaan ini jauh lebih teruk daripada menagih heroin. Didapati penagih heroin yang cuba menggantikan heroin dengan daun ketum akan kembali kepada heroin selepas dua atau tiga bulan kerana kesan ketagihannya semakin teruk.

Sebagai rumusan, rebusan daun ketum tidak akan memberikan kesan khayal kepada seseorang penagih. Sebaliknya, pengambilannya hanya dapat mengurangkan rasa gian jauh sekali membantu penagih daripada berhenti menagih. Berbanding daun ketum, pengambilan heroin boleh membuatkan seseorang penagih bertahan lebih lama sebelum berasa gian semula.

Didapati daun ketum hanya boleh bertahan selama empat jam pada satu masa walaupun bahan tersebut diambil sebanyak mana. Disebabkan tindak balas yang kurang berkesan itu, maka daun ketum tidak popular sebagai dadah utama.

Kesan minum air ketum seperti morfin
JITRA:  Kerajaan telahpun menyerahkan kertas cadangan kepada Pejabat Peguam Negara bagi meminda akta agar daun ketum disenaraikan sebagai dadah berbahaya dan kesalahan menjual daun ketum ataupun airnya sama seperti mengedar dadah.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom berkata selama ini kesalahan berkaitan daun ketum diletakkan di bawah akta racun yang memperuntukkan hukuman ringan.
"Kerajaan bersedia meminda akta yang sedia ada terhadap kesalahan memiliki daun ketum daripada akta racun kepada akta dadah berbahaya," katanya semasa berucap merasmikan program Belia Benci Dadah di Kampung Keda Wang Tepus dekat sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat kini bimbang dengan penyalahgunaan bahan yang mempunyai kesan sama dengan dadah seperti menghidu gam dan meminum air daun ketum di kalangan remaja serta belia.
Mohd Johari berkata air rebusan daun ketum boleh menjejaskan sistem saraf pusat manusia dan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana mengandungi "mitraginin" yang tahap ketagihannya sama dengan morfin.
"Ini bermakna nanti, kerajaan bakal menguatkuasa undang-undang meminum air daun ketum sama seperti penyalahgunaan dadah dan menjual air daun ketum sama seperti mengedar dadah," katanya lagi.
Pokok ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana kandungan mitragininnya.
Mitraginin disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun Ordinan Racun 1952 Peraturan-peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989, dengan itu pokok ketum diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.
Sebelum ini, daun ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, selain rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan merawat sakit belakang.
Bagaimanapun air rebusan daun ketum disalahgunakan dan dijual secara meluas kepada pengguna biasa terutama di kalangan remaja.
Pokok ketum, juga dikenali sebagai Pokok Biak (bahasa Inggeris: Kratom), ialah sejenis tumbuhan daripada famili Rubiaceae yang banyak terdapat di Afrika, di utara dan tengah Semenanjung Malaysia serta di selatan Thailand.
Di Thailand, pokok ini dipanggil Kakuam, Ithang atau Thom manakala di Amerika Syarikat pula sebagai Kratom dan nama botaninya Mitragyna speciosa korth. BERNAMA


Antara kesan buruk penyalahgunaan melampau daun ketum ialah

susut berat badan
insomnia
anoreksia
bibir menjadi kering
sembelit atau kesukaran membuang air besar
kesan lebam dan terbakar di muka terutamanya di bahagian pipi dan sebagainya



KESAN2 PENYINGKIRAN DALAM BADAN
Simptom-simptom tarikan seperti mata dan hidung berair
sengal-sengal sendi
mudah marah
lemah untuk bekerja




MASA DEPAN POKOK KETUM DI MALAYSIA:


Dengan pengistiharkan daun Ketum sebagai bahan larangan mulai Januari 2003, ini bererti pokok Ketum mungkin akan pupus akibat aktiviti penghapusan oleh pihak berkuasa.


Nasib pokok ketum ternyata berbeza dengan pokok kola yang berasal dari Amerika Syarikat. Air rebusan daun kola telah dijadikan bahan asal Coca-cola. Bagaimanapun setelah didapati daun kola mempunyai bahan ketagihan yang sama, syarikat Coca-cola telah menukar bahan asal dalam daun kola kepada bahan sintatik yang tidak menagihkan. Apakah mungkin ada pengusaha daun Ketum yang mampu menjalankan penyelidikan bagi menyingkirkan bahan mitragynine dari ramuannya untuk dipasarkan? Mungkin akan terhasil Ketum Kola? Hanya masa akan menentukannya.


Bagaimanapun penyelidikan oleh luar negara untuk memajukan pokok Ketum menunjukkan hasil yang menggalakkan. Kajian oleh Ridley 1897 di Malaya dan terbaru di New Zealand mendapati kandungan mitraginin dalam daun ketum dos rendah boleh digunakan sebagai ejen dalam rawatan detoksifikasi dadah (pemulihan penagih dadah). Dengan itu daun Ketum dipercayai boleh membantu dalam rawatan detoksifikasi atau terapi gantian dan khasiat dalam perubatan tradisional tetapi kajian lebih saintifik perlu dilakukan bagi memastikan aspek keselamatan serta keberkesanan daun ketum digunakan dalam rawatan itu.